The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ACC Shopee Cup Kumpulan A MD3| Dynamic Herb Cebu FC 1-1 Selangor FC

Dec 04, 2025 - FAS

Selangor FC membawa pulang satu mata daripada perlawanan ketiga saingan ACC Shopee Cup 2025/26 Kumpulan A selepas terikat 1-1 menentang Cebu FC di Stadium Rizal Memorial, Manila, semalam.

Di atas padang, skuad Merah Kuning mempamerkan permainan dominan dengan 69% penguasaan bola serta memperoleh 10 sepakan penjuru meskipun beraksi di atas permukaan sintetik. Namun, separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan. Cebu FC membuka tirai jaringan pada minit ke-47 menerusi Rico Andes sebelum Willian Lira menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian. Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling memburu gol kemenangan, tetapi perlawanan kekal 1-1 hingga tamat.

Keputusan ini meletakkan Selangor FC di tangga kedua Kumpulan A dengan lima mata, satu mata di belakang pendahulu Tampines Rovers. BG Pathum United dan Công An Hà N?i masing-masing mengumpul empat mata, diikuti Buriram United dengan tiga mata, manakala Cebu FC kekal dengan satu mata.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut dan mahu pasukan mengambil tanggungjawab untuk memperbaikinya.

“Keputusan seri ini ibarat kita kalah kerana kita mencipta banyak peluang tetapi tidak menyudahkannya dengan baik. Memandangkan beberapa pemain muda diturunkan, terdapat juga beberapa keputusan kurang matang di atas padang. Walau bagaimanapun, saya puji semangat yang mereka pamerkan. Saya akan terus memberi peluang kepada pemain muda dan percaya mereka akan bangkit,” jelasnya.

“Selepas perlawanan ini, saya akan merehatkan beberapa pemain kerana mereka beraksi 120 minit dalam perlawanan sebelum ini. Selepas itu, saya mahu melihat siapa yang benar-benar bersedia dari segi mental dan bersedia untuk kembali beraksi mengikut perancangan pasukan. Keputusan pengadil adalah sesuatu yang kita tidak boleh kawal, tetapi yang lebih penting adalah mengurangkan kesilapan sendiri. Prestasi pasukan masih belum konsisten dan kita harus bertanggungjawab untuk memperbaikinya,” tambahnya.

Seterusnya, Selangor FC akan terbang ke Pulau Pinang bagi aksi ke-11 saingan Liga Super 2025/26 menentang Penang FC pada 7 Disember ini di Stadium Bandaraya, Penang, jam 9 malam. Lihat kalendar bulan Disember di sini

Pihak pengurusan Selangor FC kekal yakin bahawa pasukan mampu bangkit dan meneruskan perjuangan sehingga tamat musim 2025/26.

Demi Kebanggaan!